Friday, April 25, 2014

Perapian (Grooming)

Untuk topik grooming ni saya akan bincangkan potong kuku, mandi dan berus bulu. Tak semua kucing suka digrooming jadi ada caranya untuk senangkan kerja dan elak diri dari cedera bila kucing cuba nak lepaskan diri. 

Sebelum mandi, untuk elak kena cakar, elok potong kuku dulu. Kuku boleh diperiksa 2 minggu sekali dan dipotong kalau panjang. Selain elak dicakar, boleh juga elak cedera kalau kucing ni terlebih bergurau dengan kawannya atau terpatah kuku bila ia mencakar di tempat scratching. Cara yang saya biasa buat ialah letak kucing di riba. Pegang jari kuku yang nak dipotong. Untuk kaki depan, letakkan tangan kita yang pegang pemotong kuku tu atas kepala kucing. Ini untuk elak dari digigit atau dicakar. Pegang dengan yakin dan kemas. Cara kita pegang pun penting. Kalau kita takut dengan kucing, kita sebenarnya bagi kuasa pada ia. Jadi jangan takut-takut. Ingat yang kita ni pemiliknya dan kita buat ni untuk kebaikan ia jugak. Macam kita potong kuku kita pun ada hadnya. Boleh potong setakat atas paras garisan merah pada kukunya. Jangan terlebih potong, nanti luka dan sakit langsung kucing tu tak nak potong kuku lagi sebab trauma.

Kalau boleh berus bulu dulu sebelum mandi untuk elak kusut. Masa mandi pulak, dah tentu ada bermacam cara kucing nak lepaskan diri. Jadi pujuklah kucing tu supaya ia tenang. Sebelum bubuh syampu, basahkan badannya dulu. Bila dah bubuh syampu, cuci sampai ke jari kakinya dan pastikan bahagian dalam bulunya (terutama yang bulu panjang) dicuci juga. Elakkan bahagian muka dan telinga. Boleh basahkan tangan kita dan lap mukanya. Cuma bersihkan tahi mata.

Lepas mandi, keringkan betul-betul dengan tuala. Kalau tak cukup kering boleh kena selsema. Kucing biasanya takut sangat dengan hair dryer. Kalau nak guna juga beri jarak selesa. Kalau tak nak guna, boleh pasang kipas kuat-kuat bagi kering cepat. Yang bulu pendek mudah kering, yang bulu panjang ambil masa sedikit. Untuk yang bulu panjang, boleh juga berus bulunya sebab biasanya kusut boleh terlerai masa bulu tengah basah. Masa berus pun kena pujuk kucing ni sebab ada yang sensitif tak suka diberus.

Saya akan mandikan kucing saya sekali sebulan. Sebabnya, badan kucing ni akan keluarkan minyak semulajadi baik untuk bulunya. Jadi, kalau kerap sangat mandikan, minyak tu akan hilang dan tak elok untuk bulunya. Kalau rasa sebulan tu lama sangat, bolehlah mandikan sekali dalam 2 minggu.

Ini antara cara grooming dan satu cara yang baik untuk rapatkan hubungan dengan kucing selain bermain. Lagi banyak masa yang diluangkan lagi sayang kucing dengan pemiliknya.