Friday, April 25, 2014

Keperluan asas kucing

Sebelum mengambil keputusan untuk membela pet, harus diingat yang ia memerlukan komitmen masa, tenaga dan kewangan. Untuk kucing, bergantung juga pada jenisnya. Kalau nak selamatkan kucing biasa dari jalanan pun ada kosnya juga. Kalau kucing tu sihat, cuma perlu sediakan kos vaksin, deworm dan kasi. Kalau pulak kucing tu sakit, luka teruk ke sebagai contoh, kos rawatan juga mungkin agak tinggi. Kalau nakkan kucing yang ada baka tertentu pun, ada juga harga yang harus dibayar bergantung pada jenis baka tersebut. Apapun, untuk yang baru pertama kali nak membela kucing, ini adalah antara keperluannya:

  1. Makanan
Kucing ni haiwan yang cerewet bab makan. Kalau kucing terbiar tu, mula-mula kita bagi makan, memang tak memilih. Tapi, lama-lama ia akan jadi cerewet dan tak mahu makan. Jadi, kita akan bincangkan perkara ni lebih lanjut dalam entri yang akan datang  

  1. Pasir kumbahan
Ada bermacam jenis pasir di pasaran. Yang paling biasa digunakan ialah pasir tanah liat. Kelebihannya ia murah dan agak baik untuk penggunaan biasa. Maksudnya kalau cuma ada seekor kucing di rumah, pasir tanah liat ni boleh tahan lama. Tapi kalau ada banyak kucing, kena juga sediakan banyak bekas pasir ni sebab kucing adalah haiwan pembersih. Nak pijak najis sendiri pun, ia geli. Bayangkanlah kalau ada najis kucing lain yang banyak. Kalau tak nak sediakan banyak kena bersedialah untuk terima akibatnya. Kucing tu akan membuang di tempat yang tak sepatutnya. Untuk elak perkara ni terjadi, seeloknya kerap keluarkan najis dari bekas tu. Pasir tanah liat ni masih boleh digunakan kalau ia masih kering. Agak-agak kalau dah melekat lekit elok tukar je lah. Tapi kalau masih boleh digunakan tapi dah berkurangan, boleh tambahkan aje dengan pasir baru. Kucing ni kalau pasir tu baru, ia cukup suka bermain-main dalam bekas tu sampai terkeluar dan berkurang jadinya pasir tu.

Ada satu jenis lagi pasir kumbahan, jenis kristal. Jenis ni mahal dari tanah liat. Tapi mengikut pembacaan saya, ia lebih tahan lama sebab ia tak melekit macam tanah liat. Saya pernah cuba guna sekali, tapi mungkin sebab tak biasa, saya lebih sukakan yang tanah liat.

  1. Bekas makanan dan minuman
Bekas makanan ni seeloknya yang khusus untuk pet, bezanya dari guna bekas biasa yang manusia guna macam pinggan ialah ia tak mudah terbalik. Sebabnya, kucing ni bila makan suka nak masukkan sekali kaki depannya, jadi kadang-kadang terbaliklah habis bertaburan makanan tu atas lantai dah membazir pulak.

Kalau rasa agak sibuk tak sempat nak bagi makan, bolehlah beli auto feeder yang boleh memuatkan banyak makanan sekaligus bergantung pada saiznya. Jadi tak perlulah risau kalau terlupa atau tak sempat nak bagi makan. Tapi, hati-hati sikit, terlebih makan kucing boleh jadi obes dapat penyakit lain pulak jadinya.

Untuk bekas minuman, boleh guna bekas yang serupa dengan bekas makanan tadi. Sebab yang sama, untuk elak dari mudah terbalik. Ada juga yang pilih bekas minuman yang airnya sentiasa bergerak, untuk membersihkan air tu dari habuk atau bulu. Tapi, saya guna yang biasa je sebab kucing saya takut dengan air tu langsung tak nak minum.

  1. Bekas pasir kumbahan
Ada banyak jenis juga. Ada yang kecil, sedang, besar dan sangat besar. Saya rasa elok beli yang sedang atau besar. Bergantung pada saiz kucing. Kalau badannya besar, dah tentu yang kecil tak muat. Lagi satu, pilihlah sekurang-kurangnya yang bertutup di tepinya supaya tak terkeluar sangat pasir tu nanti.

Kalau nak lebih mudah lagi, boleh pilih jenis yang tak payah korek najis macam smartsift. Tapi, saya guna yang biasa je sebab ia lebih murah dan sebab kucing saya yang banyak, saya perlu guna banyak juga.   

  1. Carrier
Carrier ni penting terutama untuk bawa kucing ke mana-mana. Kalau tak ada benda ni, berkeliaranlah kucing dalam kereta takut nanti tak terkawal bahaya pulak. Kalau sakit nak kena jumpa vet pun elok lah guna benda ni.

Carrier ni pun ada jenis dan saiz jugak. Ada yang macam beg tangan, ada yang jenis plastik. Saiz pun ada yang kecil, sedang, besar dan sangat besar. Bergantung pada saiz kucing. Saya guna yang sedang, besar dan sangat besar supaya diorang selesa dalam perjalanan. 

  1. Berus bulu
Berus bulu boleh dibeli ikut jenis bulu kucing. Ada beza untuk yang pendek atau panjang. Biasanya ada tertulis pada jenis berus yang kita nak beli.

Antara tools yang saya ada. Furminator yang warna pink 

Selain dari jenis berus yang biasa, ada juga jenis berus yang memotong bulu terus. Contohnya macam furminator. Kena tengok pada gigi berus tu untuk kenal jenis berus bulu tu. Saya pernah guna furminator tapi saya lebih suka guna berus biasa.

Kalau rasa macam nak shave bulu pulak, boleh beli shaver yang khas untuk pet. Saya pernah guna shaver untuk manusia tapi kurang berkesan. Bulu terpotong jugak tapi lambat. Jadi saya guna pet shaver jenis andis, agak pantas dan berkesan tapi tak boleh guna berterusan dengan lama sebab ia cepat panas. Bila panas nanti boleh melecur kulit pulak. Kalau shaver untuk manusia tu, lambat panas tapi lambat juga kesannya.


Pet shaver andis

  1. Pemotong kuku
Ada jenis macam gunting kecil dan ada juga macam plier. Saya ada kedua-duanya. Untuk yang dewasa saya suka guna yang macam plier, untuk anak kucing, saya guna yang macam gunting tu. Untuk tips memotong kuku, nanti saya akan ceritakan di entri yang akan datang.


Pemotong kuku

  1. Tuala
Untuk tuala, eloklah sediakan lebih dari satu helai untuk seekor kucing. Seeloknya yang tebal yang boleh menyerap lebih air. Kalau guna yang nipis macam tuala good morning tu kena guna banyak helai sebab satu tak cukup. Kucing takkan kering dan masih basah. Kalau tak kering nanti selsema jadinya kucing tu. Saiz pulak, saya gunakan yang sedang. Tak besar sangat dan tak kecil sangat.

  1. Syampu
Saya pilih syampu yang banyak fungsi, macam anti-bakteria, anti-kulat dsb. Pastikan pekat dan buihnya banyak. Kalau cair tak banyak buih macam tak mandi pulak kucing tu nanti. Terpulang juga pada reaksi si pengguna syampu tu lepas mandi. Agak-agak bergaru je maksudnya tak sesuai lah dengan kulit. Kena cari syampu lain.

Syampu macam ni tak berkesan kalau ada kutu. Untuk kutu, ada ubat yang lain yang akan saya cerita lain kali.

  1. Tempat mencakar (Scratching post)
Kalau nak jimat, guna kotak yang tak guna je, kucing suka jugak asalkan boleh mencakar. Kalau tak ada benda ni, habis perabot macam sofa pulak jadi mangsa. Banyak jenis di pasaran, ada yang guna tali sisal ada jugak yang guna kotak. Boleh juga kalau nak buat sendiri. Beli tali macam tu, lekat kat batang kayu guna gam.

  1. Mainan
Bermain ni satu senaman untuk kucing. Satu untuk elak obes. Satu lagi untuk elak bosan. Kalau bosan, nanti jadi agresif kucing ni pada pemiliknya dan tak nak manja lagi. Dengan bermain, dapat juga mengeratkan hubungan dengan kucing kita dan pastinya ia akan lebih sayang pada pemiliknya.
Jenis mainan yang saya ada ialah jenis macam joran. Hujungnya ada macam tikus dan ada yang berloceng. Nak bagi ia lebih aktif, letakkan catnip pada mainan tu atau pada kawasan bermain.


Catnip


Catnip ialah penggalak bermain kucing. Catnip ni pulak ada yang cecair dan ada yang rupanya macam bunga rampai. Kucing saya layan yang macam bunga rampai tu sebab ia natural agaknya.

  1. Rumput
Perasan tak kadang-kadang ada jugak kucing yang makan rumput kat luar. Gunanya untuk sistem penghadaman. Yalah, kadang-kadang kucing ni ada tertelan bulu sendiri jadi bulu ni mungkin tak dapat diproses di dalam perut. Rumput akan menyelesaikan masalah ni.

Sebab rumput ni kena tanam (kat luar mungkin bahaya terdedah pada racun), jadi kadang-kadang susah nak tumbuh. Jadi, kucing saya ambil je timothy hay yang saya beri pada arnab.

  1. Sangkar (jika perlu)
Saya akan guna sangkar ni untuk kucing yang baru beranak. Ini untuk elakkan dari ia menggonggong anaknya takut jatuh entah di mana dan disorokkannya pulak. Bila ada yang terjatuh sana sini nanti ada pulak yang tertinggal tak dapat menyusu. Risiko kematian pun lebih tinggi terutama yang baru lahir. Dengan sangkar ni juga, anak kucing dapat dilatih untuk membuang najis di tempat yang sepatutnya. Bila dah besar bolehlah dibebaskan keluar.

Satu lagi kegunaan sangkar ni ialah untuk kuarantin kucing sakit atau yang baru masuk dalam rumah kita. Ini untuk mengelak penyakit berjangkit pada kucing lain yang sihat. Yang baru datang pulak sebab kita tak tahu asal-usul kucing ni macammana kehidupannya sebelum ni. Mungkin ia ada penyakit berjangkit yang berbahaya atau pun mungkin ia berkutu.

Pastikan kucing tu ada dalam rumah je sebab di luar ada banyak ancaman macam accident, atau bergaduh dengan kucing lain dan terjangkit penyakit berbahaya. Di luar jugak kucing tu boleh dapat kutu dan bila bawak masuk rumah dengan pemiliknya sekali terkena. Kajian jugak menunjukkan kucing hidup lebih lama di dalam rumah berbanding di luar. Kalau nak dedahkan dengan dunia luar bolehlah bina catio atau cat enclosure yang bersambung dengan rumah tapi masih berjaring. Jadi kucing tu lebih selamat. Banyak imej tentang catio boleh didapati dari catioshowcase.com


Imej ihsan http://catioshowcase.com/wp-content/uploads/2011/04/Catnip5.jpg

Semua keperluan ni boleh didapati di kedai pet atau boleh rujuk di Internet sebab ada juga individu yang tiada kedai tapi jual dengan harga lebih murah dari kedai pet. Biasanya, saya perasan kalau tempat tu jual makanan murah, mesti barang lain macam bekas makanan atau pasir lebih mahal. Apapun, survey harga dulu sebelum membeli untuk dapatkan barang yang berpatutan dengan harganya.