Friday, April 25, 2014

Menangani masalah kutu kucing

Salah satu punca kucing berkutu datang dari jangkitan luar rumah. Bila kucing tu berjalan di luar, ia mungkin terdedah dengan jangkitan. Masalah kutu bagi saya masalah yang agak besar. Sebabnya, ia mudah berjangkit dengan kucing lain dalam rumah kalau kita bela lebih dari seekor kucing. Tanda ketara kucing terkena kutu ni selain dari bergaru, ialah ada kotoran berwarna hitam pada bulu kucing macam tahi lalat kalau sekali pandang. Ini dinamakan flea dirt. Di celah-celah bulu tu juga boleh nampak serangga rupa macam lalat kecil bergerak ke seluruh badan. Kutu tu bukan je buat kucing tak selesa asyik bergaru, tapi ia boleh menetaskan cacing ke dalam badan kucing kita yang buatkan kucing kurus dan cirit-birit. Tak cukup lagi, yang lebih teruk, bukan kucing je yang kena gigit, tapi dengan pemiliknya sama asyik bergaru. Tapi untuk manusia, kutu takkan berjangkit di kepala sebab bukan spesis kutu tu. Ia cuma menggigit di seluruh badan je.  Gigitan kutu tu sangat gatal. Kawasan yang kena gigitan tu merah dan bengkak. Selagi tak hilang merah tu selagi tulah tak hilang gatalnya.

Ok, jadi bila perasan je yang kucing ada kutu, ada beberapa perkara yang boleh dibuat. Pertama, beli ubat kutu. Ubat kutu ni ada dijual di kedai pet dan di Internet. Bolehlah cari harga yang berpatutan. Ada 2 jenis, yang guna spray atau yang titis di belakang badan kucing (spot-on). Guna ikut usia kucing. Seingat saya, kalau dah 3 bulan ke atas boleh guna yang titis tu. Yang spray tu, kena spray dan gosok ke seluruh badan. Ikut kata vet, tak apa kalau kucing jilat badannya sebab ubat tu untuk lumpuhkan kutu. Bila dah spray atau titis, jangan mandikan kucing. Ikut je arahan pada ubat tu.

Ubat kutu spray dan titis

Untuk check samada berkesan atau tak, boleh guna sikat kutu khusus untuk pet. Kalau ada kotoran hitam dan yang bergerak-gerak di celah-celah bulu tu maksudnya ada lagi. Kena juga bersihkan langsir atau apa juga tempat yang kutu tu boleh berhinggap. Guna vakum sebab ia boleh sedut semua telur kutu yang jatuh dari badan kucing. Nanti boleh nampak kutu tu melompat-lompat atas lantai dan kalau nak hapuskan ia guna air sabun atau apa-apa yang beralkohol. Dengan air sabun ni kutu tu terus tak bergerak lagi.

Ikut pengalaman saya dah lama dulu, saya guna Frontline. Mula-mula guna spray tapi tak berkesan. Lepas tu, guna yang titik tu. Berkesan dengan sangat cepat. Tapi kena juga vakum rumah hari-hari untuk pastikan rumah bebas dari kutu. Tempat favourite kutu ni selain langsir, ialah karpet atau apa-apa benda fabrik macam sofa contohnya.

Untuk hilangkan gatal badan kita pulak, guna calamine lotion. Yang biasanya guna untuk bayi kalau ada ruam lampin. Pilihlah yang cecairnya pekat dan berangin. Boleh hilangkan rasa gatal tu dan boleh kurangkan bengkak.

Pengalaman saya dengan kutu kucing ni dulu bila saya mula-mula adopt kucing dari individu yang mengiklankan kucingnya di Internet. Dahlah harganya agak tinggi, ada kutu pulak. Maksud saya, bukan semua orang buat macam ni. Ada juga kucing yang dijual berkualiti. Tapi, satu yang berkutu tu akan beri masalah pada semua yang lain. Bayangkan kalau kita yang jadi pembeli, dahlah mahal lepas tu sakit pulak. Dahlah habis duit dengan membeli, habis duit dengan merawat pulak. Dah tentulah rasa tak berbaloi kan. Kalau nak jual pun, pastikan dulu kucing tu sihat, sekurang-kurangnya bebas kutu. Saya pastikan kucing-kucing saya divaksin dan dideworm sebelum diadopt. Yang penting kualiti bukan soal duit je. Biar kucing tu membahagiakan pemilik barunya bukan menyusahkan.

Mencegah lebih baik dari mengubat. Untuk elak kutu, kucing elok letak dalam rumah je. Jangan biarkan ia merayau di luar sebab tak tahu apa yang ia bawa masuk dalam rumah kita nanti. Memanglah kalau letak kat luar ni, jimat kos tak payah beli pasir dan tak payah kena kerja bersihkan najis dari kotaknya. Tapi bila dah kena ni, lagi susah. Lagipun bukan setakat kena kutu je, banyak lagi penyakit berjangkit yang lain yang boleh sebabkan kematian hanya dengan minum dari bekas air minuman kucing lain yang tak dikenali. 

Perapian (Grooming)

Untuk topik grooming ni saya akan bincangkan potong kuku, mandi dan berus bulu. Tak semua kucing suka digrooming jadi ada caranya untuk senangkan kerja dan elak diri dari cedera bila kucing cuba nak lepaskan diri. 

Sebelum mandi, untuk elak kena cakar, elok potong kuku dulu. Kuku boleh diperiksa 2 minggu sekali dan dipotong kalau panjang. Selain elak dicakar, boleh juga elak cedera kalau kucing ni terlebih bergurau dengan kawannya atau terpatah kuku bila ia mencakar di tempat scratching. Cara yang saya biasa buat ialah letak kucing di riba. Pegang jari kuku yang nak dipotong. Untuk kaki depan, letakkan tangan kita yang pegang pemotong kuku tu atas kepala kucing. Ini untuk elak dari digigit atau dicakar. Pegang dengan yakin dan kemas. Cara kita pegang pun penting. Kalau kita takut dengan kucing, kita sebenarnya bagi kuasa pada ia. Jadi jangan takut-takut. Ingat yang kita ni pemiliknya dan kita buat ni untuk kebaikan ia jugak. Macam kita potong kuku kita pun ada hadnya. Boleh potong setakat atas paras garisan merah pada kukunya. Jangan terlebih potong, nanti luka dan sakit langsung kucing tu tak nak potong kuku lagi sebab trauma.

Kalau boleh berus bulu dulu sebelum mandi untuk elak kusut. Masa mandi pulak, dah tentu ada bermacam cara kucing nak lepaskan diri. Jadi pujuklah kucing tu supaya ia tenang. Sebelum bubuh syampu, basahkan badannya dulu. Bila dah bubuh syampu, cuci sampai ke jari kakinya dan pastikan bahagian dalam bulunya (terutama yang bulu panjang) dicuci juga. Elakkan bahagian muka dan telinga. Boleh basahkan tangan kita dan lap mukanya. Cuma bersihkan tahi mata.

Lepas mandi, keringkan betul-betul dengan tuala. Kalau tak cukup kering boleh kena selsema. Kucing biasanya takut sangat dengan hair dryer. Kalau nak guna juga beri jarak selesa. Kalau tak nak guna, boleh pasang kipas kuat-kuat bagi kering cepat. Yang bulu pendek mudah kering, yang bulu panjang ambil masa sedikit. Untuk yang bulu panjang, boleh juga berus bulunya sebab biasanya kusut boleh terlerai masa bulu tengah basah. Masa berus pun kena pujuk kucing ni sebab ada yang sensitif tak suka diberus.

Saya akan mandikan kucing saya sekali sebulan. Sebabnya, badan kucing ni akan keluarkan minyak semulajadi baik untuk bulunya. Jadi, kalau kerap sangat mandikan, minyak tu akan hilang dan tak elok untuk bulunya. Kalau rasa sebulan tu lama sangat, bolehlah mandikan sekali dalam 2 minggu.

Ini antara cara grooming dan satu cara yang baik untuk rapatkan hubungan dengan kucing selain bermain. Lagi banyak masa yang diluangkan lagi sayang kucing dengan pemiliknya.

Pemakanan

Faktor pemakanan penting yang dapat menunjukkan kucing yang dibela sihat atau tak. Daripada fizikal kucing tu kita boleh tahu samada ia sihat atau sakit. Contohnya, tengok sinar matanya. Kalau layu (bukan mengantuk), tandanya ada yang tak kena. Lebih-lebih lagi bila ia tak nak makan, tak nak main dan asyik nak tidur je. Ditambah pula kalau badannya tak naik, kurus kalau pegang rasa tulang. Bulunya pulak tak kemas dan bersih.

Kucing yang sihat matanya segar, sentiasa peka dengan persekitarannya dan bulunya kemas dan bersinar. Ia sentiasa nak main dan bising nakkan perhatian pemiliknya (sesetengah baka kucing) terutama bila dah seharian ditinggalkan dalam rumah.

Bila kucing dah mula tunjukkan yang ia tak sihat seperti tanda-tanda di atas, bawalah jumpa vet. Kucing dewasa yang sihat jarang jatuh sakit tiba-tiba kecuali kalau serius. Biasanya yang menjadi masalah ialah anak kucing antara 3 minggu ke 3 bulan. Ini adalah masa kritikal anak kucing tu sebab ia baru nak belajar makan sendiri dan beransur kurang menyusu dari ibunya. Inilah masa yang paling penting untuk dijaga pemakanannya.

Kucing ialah haiwan karnivor yang bermaksud pemakan daging. Tengok ajelah sedara maranya pak belang dan cik singa, mereka perlukan daging untuk hidup. Jadi, kucing perlukan protein yang tinggi untuk membesar dengan baik. Dalam pengalaman saya membesarkan anak kucing, ada situasi di mana anak kucing tu dalam usia 6 minggu tak dapat cukup menyusu dari ibunya. Jadi ia hilang selera makan, tak nak bermain dan asyik tidur je. Bagi wet food komersil tak nak makan juga. Lepas tu, saya perasan ada kesan kotor sikit di punggungnya. Mungkin baru nak mula cirit-birit. Bagi anak kucing, cirit-birit adalah penyakit yang cukup serius dan boleh membawa maut jika dibiarkan berlarutan. Jadi, apa yang saya buat untuk memujuk ia makan ialah saya rebus hati ayam, dihancurkan dan kemudian disuap ke mulutnya. Kalau tak ada syringe, boleh guna sudu coleslaw KFC sebab saiz tu paling sesuai untuk mulut kucing. Mula-mula tu ia tak nak makan, tapi lama-lama seleranya datang balik dan habis licin la hati tu. Bila ia dah mula nak makan semula, saya rebus daging ayam dan sedikit hati dan kemudian masukkan dalam food processor untuk dihancurkan.
Hati ayam memang baik untuk kucing tapi tak boleh diberi selalu dan dalam kuantiti yang banyak. Lagipun kos buat wet food sendiri ni lebih jimat terutamanya hati ayam 1kg dalam RM5. Tu pun banyak sangat. Saya biasa beli setengah kilo je. Tahan la dalam 2-3 minggu. Daging ayam pulak ambik bahagian dada sebab banyak isi kat situ. Kalau saya beli ayam seekor, saya bagi bahagian daging banyak tu untuk kucing sebab saya dan keluarga tak berapa suka makan bahagian berdaging banyak. Bila rebus tak perlu masukkan garam atau perisa lain sebab tak elok untuk ginjalnya. Sebab kena rebus nak elak bakteria tapi jangan rebus lama sangat sebab takut nanti zatnya hilang pulak. Inilah antara kebaikan buat sendiri sebab yang komersil punya ada benda yang tak berapa elok macam jeli dan bahan awet dan perisa. Ala, macam makan kat kedai lah kan dah tentu lebih baik makan masakan di rumah.


Ayam dan hati rebus

Bila kucing dah dewasa, bolehlah bagi kibbles atau dry food. Saya pilih orijen, walaupun harganya mahal tapi hasilnya menakjubkan. Kucing saya jadi aktif dan sentiasa sihat. Saya campurkan dengan Iams atau Royal Canin. Kadang-kadang saya beri juga wet food untuk melengkapkan pemakanannya sebab saya ada terbaca yang kalau beri dry food 100% pun tak elok juga untuk gigi dan gusinya.

Selain dari wet food dan dry food ni, kena ingat juga yang ada makanan yang toksik untuk kucing. Tak semua yang manusia makan boleh diberi pada kucing. Antaranya unsur koko (coklat) dan bawang. Susu lembu juga tak elok untuk sistem pencernaannya sebab boleh akibatkan cirit-birit. Kalau perlu beri, susu kambing adalah lebih baik.     


 Untuk senarai penuh makanan yang berbahaya untuk kucing, bolehlah rujuk di Internet. Itu je yang saya ingat. Nak senang, jangan beri makanan kita pada kucing. Satu lagi pantangnya kucing ni bila manusia tengah makan jangan beri apa-apa makanan padanya. Kalau dah termula bagi, akibatnya bila kita nak makan, ia pun bising nak apa yang kita makan. Kes paling teruk, sampai naik atas meja nak kongsi pinggan dengan kita pulak. Dah tentu tak senang hati nak makan. Walaupun ia buat muka paling sedih, buat tak tahu je janji makanan untuk ia memang dah sedia ada. Makanan manusia untuk manusia. Makanan kucing untuk kucing.

Keperluan asas kucing

Sebelum mengambil keputusan untuk membela pet, harus diingat yang ia memerlukan komitmen masa, tenaga dan kewangan. Untuk kucing, bergantung juga pada jenisnya. Kalau nak selamatkan kucing biasa dari jalanan pun ada kosnya juga. Kalau kucing tu sihat, cuma perlu sediakan kos vaksin, deworm dan kasi. Kalau pulak kucing tu sakit, luka teruk ke sebagai contoh, kos rawatan juga mungkin agak tinggi. Kalau nakkan kucing yang ada baka tertentu pun, ada juga harga yang harus dibayar bergantung pada jenis baka tersebut. Apapun, untuk yang baru pertama kali nak membela kucing, ini adalah antara keperluannya:

  1. Makanan
Kucing ni haiwan yang cerewet bab makan. Kalau kucing terbiar tu, mula-mula kita bagi makan, memang tak memilih. Tapi, lama-lama ia akan jadi cerewet dan tak mahu makan. Jadi, kita akan bincangkan perkara ni lebih lanjut dalam entri yang akan datang  

  1. Pasir kumbahan
Ada bermacam jenis pasir di pasaran. Yang paling biasa digunakan ialah pasir tanah liat. Kelebihannya ia murah dan agak baik untuk penggunaan biasa. Maksudnya kalau cuma ada seekor kucing di rumah, pasir tanah liat ni boleh tahan lama. Tapi kalau ada banyak kucing, kena juga sediakan banyak bekas pasir ni sebab kucing adalah haiwan pembersih. Nak pijak najis sendiri pun, ia geli. Bayangkanlah kalau ada najis kucing lain yang banyak. Kalau tak nak sediakan banyak kena bersedialah untuk terima akibatnya. Kucing tu akan membuang di tempat yang tak sepatutnya. Untuk elak perkara ni terjadi, seeloknya kerap keluarkan najis dari bekas tu. Pasir tanah liat ni masih boleh digunakan kalau ia masih kering. Agak-agak kalau dah melekat lekit elok tukar je lah. Tapi kalau masih boleh digunakan tapi dah berkurangan, boleh tambahkan aje dengan pasir baru. Kucing ni kalau pasir tu baru, ia cukup suka bermain-main dalam bekas tu sampai terkeluar dan berkurang jadinya pasir tu.

Ada satu jenis lagi pasir kumbahan, jenis kristal. Jenis ni mahal dari tanah liat. Tapi mengikut pembacaan saya, ia lebih tahan lama sebab ia tak melekit macam tanah liat. Saya pernah cuba guna sekali, tapi mungkin sebab tak biasa, saya lebih sukakan yang tanah liat.

  1. Bekas makanan dan minuman
Bekas makanan ni seeloknya yang khusus untuk pet, bezanya dari guna bekas biasa yang manusia guna macam pinggan ialah ia tak mudah terbalik. Sebabnya, kucing ni bila makan suka nak masukkan sekali kaki depannya, jadi kadang-kadang terbaliklah habis bertaburan makanan tu atas lantai dah membazir pulak.

Kalau rasa agak sibuk tak sempat nak bagi makan, bolehlah beli auto feeder yang boleh memuatkan banyak makanan sekaligus bergantung pada saiznya. Jadi tak perlulah risau kalau terlupa atau tak sempat nak bagi makan. Tapi, hati-hati sikit, terlebih makan kucing boleh jadi obes dapat penyakit lain pulak jadinya.

Untuk bekas minuman, boleh guna bekas yang serupa dengan bekas makanan tadi. Sebab yang sama, untuk elak dari mudah terbalik. Ada juga yang pilih bekas minuman yang airnya sentiasa bergerak, untuk membersihkan air tu dari habuk atau bulu. Tapi, saya guna yang biasa je sebab kucing saya takut dengan air tu langsung tak nak minum.

  1. Bekas pasir kumbahan
Ada banyak jenis juga. Ada yang kecil, sedang, besar dan sangat besar. Saya rasa elok beli yang sedang atau besar. Bergantung pada saiz kucing. Kalau badannya besar, dah tentu yang kecil tak muat. Lagi satu, pilihlah sekurang-kurangnya yang bertutup di tepinya supaya tak terkeluar sangat pasir tu nanti.

Kalau nak lebih mudah lagi, boleh pilih jenis yang tak payah korek najis macam smartsift. Tapi, saya guna yang biasa je sebab ia lebih murah dan sebab kucing saya yang banyak, saya perlu guna banyak juga.   

  1. Carrier
Carrier ni penting terutama untuk bawa kucing ke mana-mana. Kalau tak ada benda ni, berkeliaranlah kucing dalam kereta takut nanti tak terkawal bahaya pulak. Kalau sakit nak kena jumpa vet pun elok lah guna benda ni.

Carrier ni pun ada jenis dan saiz jugak. Ada yang macam beg tangan, ada yang jenis plastik. Saiz pun ada yang kecil, sedang, besar dan sangat besar. Bergantung pada saiz kucing. Saya guna yang sedang, besar dan sangat besar supaya diorang selesa dalam perjalanan. 

  1. Berus bulu
Berus bulu boleh dibeli ikut jenis bulu kucing. Ada beza untuk yang pendek atau panjang. Biasanya ada tertulis pada jenis berus yang kita nak beli.

Antara tools yang saya ada. Furminator yang warna pink 

Selain dari jenis berus yang biasa, ada juga jenis berus yang memotong bulu terus. Contohnya macam furminator. Kena tengok pada gigi berus tu untuk kenal jenis berus bulu tu. Saya pernah guna furminator tapi saya lebih suka guna berus biasa.

Kalau rasa macam nak shave bulu pulak, boleh beli shaver yang khas untuk pet. Saya pernah guna shaver untuk manusia tapi kurang berkesan. Bulu terpotong jugak tapi lambat. Jadi saya guna pet shaver jenis andis, agak pantas dan berkesan tapi tak boleh guna berterusan dengan lama sebab ia cepat panas. Bila panas nanti boleh melecur kulit pulak. Kalau shaver untuk manusia tu, lambat panas tapi lambat juga kesannya.


Pet shaver andis

  1. Pemotong kuku
Ada jenis macam gunting kecil dan ada juga macam plier. Saya ada kedua-duanya. Untuk yang dewasa saya suka guna yang macam plier, untuk anak kucing, saya guna yang macam gunting tu. Untuk tips memotong kuku, nanti saya akan ceritakan di entri yang akan datang.


Pemotong kuku

  1. Tuala
Untuk tuala, eloklah sediakan lebih dari satu helai untuk seekor kucing. Seeloknya yang tebal yang boleh menyerap lebih air. Kalau guna yang nipis macam tuala good morning tu kena guna banyak helai sebab satu tak cukup. Kucing takkan kering dan masih basah. Kalau tak kering nanti selsema jadinya kucing tu. Saiz pulak, saya gunakan yang sedang. Tak besar sangat dan tak kecil sangat.

  1. Syampu
Saya pilih syampu yang banyak fungsi, macam anti-bakteria, anti-kulat dsb. Pastikan pekat dan buihnya banyak. Kalau cair tak banyak buih macam tak mandi pulak kucing tu nanti. Terpulang juga pada reaksi si pengguna syampu tu lepas mandi. Agak-agak bergaru je maksudnya tak sesuai lah dengan kulit. Kena cari syampu lain.

Syampu macam ni tak berkesan kalau ada kutu. Untuk kutu, ada ubat yang lain yang akan saya cerita lain kali.

  1. Tempat mencakar (Scratching post)
Kalau nak jimat, guna kotak yang tak guna je, kucing suka jugak asalkan boleh mencakar. Kalau tak ada benda ni, habis perabot macam sofa pulak jadi mangsa. Banyak jenis di pasaran, ada yang guna tali sisal ada jugak yang guna kotak. Boleh juga kalau nak buat sendiri. Beli tali macam tu, lekat kat batang kayu guna gam.

  1. Mainan
Bermain ni satu senaman untuk kucing. Satu untuk elak obes. Satu lagi untuk elak bosan. Kalau bosan, nanti jadi agresif kucing ni pada pemiliknya dan tak nak manja lagi. Dengan bermain, dapat juga mengeratkan hubungan dengan kucing kita dan pastinya ia akan lebih sayang pada pemiliknya.
Jenis mainan yang saya ada ialah jenis macam joran. Hujungnya ada macam tikus dan ada yang berloceng. Nak bagi ia lebih aktif, letakkan catnip pada mainan tu atau pada kawasan bermain.


Catnip


Catnip ialah penggalak bermain kucing. Catnip ni pulak ada yang cecair dan ada yang rupanya macam bunga rampai. Kucing saya layan yang macam bunga rampai tu sebab ia natural agaknya.

  1. Rumput
Perasan tak kadang-kadang ada jugak kucing yang makan rumput kat luar. Gunanya untuk sistem penghadaman. Yalah, kadang-kadang kucing ni ada tertelan bulu sendiri jadi bulu ni mungkin tak dapat diproses di dalam perut. Rumput akan menyelesaikan masalah ni.

Sebab rumput ni kena tanam (kat luar mungkin bahaya terdedah pada racun), jadi kadang-kadang susah nak tumbuh. Jadi, kucing saya ambil je timothy hay yang saya beri pada arnab.

  1. Sangkar (jika perlu)
Saya akan guna sangkar ni untuk kucing yang baru beranak. Ini untuk elakkan dari ia menggonggong anaknya takut jatuh entah di mana dan disorokkannya pulak. Bila ada yang terjatuh sana sini nanti ada pulak yang tertinggal tak dapat menyusu. Risiko kematian pun lebih tinggi terutama yang baru lahir. Dengan sangkar ni juga, anak kucing dapat dilatih untuk membuang najis di tempat yang sepatutnya. Bila dah besar bolehlah dibebaskan keluar.

Satu lagi kegunaan sangkar ni ialah untuk kuarantin kucing sakit atau yang baru masuk dalam rumah kita. Ini untuk mengelak penyakit berjangkit pada kucing lain yang sihat. Yang baru datang pulak sebab kita tak tahu asal-usul kucing ni macammana kehidupannya sebelum ni. Mungkin ia ada penyakit berjangkit yang berbahaya atau pun mungkin ia berkutu.

Pastikan kucing tu ada dalam rumah je sebab di luar ada banyak ancaman macam accident, atau bergaduh dengan kucing lain dan terjangkit penyakit berbahaya. Di luar jugak kucing tu boleh dapat kutu dan bila bawak masuk rumah dengan pemiliknya sekali terkena. Kajian jugak menunjukkan kucing hidup lebih lama di dalam rumah berbanding di luar. Kalau nak dedahkan dengan dunia luar bolehlah bina catio atau cat enclosure yang bersambung dengan rumah tapi masih berjaring. Jadi kucing tu lebih selamat. Banyak imej tentang catio boleh didapati dari catioshowcase.com


Imej ihsan http://catioshowcase.com/wp-content/uploads/2011/04/Catnip5.jpg

Semua keperluan ni boleh didapati di kedai pet atau boleh rujuk di Internet sebab ada juga individu yang tiada kedai tapi jual dengan harga lebih murah dari kedai pet. Biasanya, saya perasan kalau tempat tu jual makanan murah, mesti barang lain macam bekas makanan atau pasir lebih mahal. Apapun, survey harga dulu sebelum membeli untuk dapatkan barang yang berpatutan dengan harganya. 

Kucing bulu pendek atau panjang?

Ada yang tak pasti samada nak bela yang berbulu pendek atau panjang. Setiap satunya ada kelebihan dan kekurangan. Bulu pendek senang nak jaga. Tak payah nak sikat selalu. Bulu panjang pulak lebih comel tapi kena lah sikat sekerap mungkin. Kalau tak, nanti kusut jadi bebola bulu susah nak betulkan semula.
Kalau masa kecil kadang-kadang susah nak bezakan samada bulu pendek atau panjang. Tapi, boleh tengok pada telinga kucing tu. Kalau ada bulu yang panjang pada telinganya maksudnya bulu kucing tu panjang. Biasanya kucing yang bulunya pendek, bulu telinganya pun pendek.

Saya bela dua-dua sekali. Yang pendek macam American Shorthair, British Shorthair, Exotic Shorthair dan Siamese. Yang panjang pulak Parsi dan Maine Coon. Secara jujurnya, saya rasa jauh lebih senang nak jaga yang bulu pendek sebab terutamanya bila mandi senang nak bersihkan sebab air mudah sampai ke dasar dan bila lepas mandi senang jugak nak kering sebab bulu yang nipis.

Yang bulu panjang pulak, kena mandi lebih lama sebab bulu yang tebal. Nak keringkan pun sama juga. Tak cukup dengan tu, sebab cuaca kadang-kadang terlalu panas, kesian tengok yang bulu panjang ni. Bayangkanlah kalau kita kena pakai baju tebal tengah panas tak boleh nak tanggalkan selama-lamanya. Tentulah sengsara, kan. Jadi satu kerja lagi, kenalah shave bulunya supaya lebih nipis dan lebih selesa. Kerja shaving ni pun ada expired date jugak. Bila bulu panjang balik, kenalah shave lagi. Lagi satu, kalau tak nak shave, bersedialah dengan vakum kat rumah untuk sedut semua bulu yang berterbangan.


Jadi, pada pendapat saya, kalau kita ni jenis sibuk tak dapat nak bagi perhatian yang lebih tapi nak juga ada pet, pilihlah yang berbulu pendek. Mudah dibersihkan dan kurang bulu berterbangan.     

Kelebihan ada pet

Ada orang pernah kata pada saya kenapalah nak berhabis untuk kucing. Lebih baik guna duit tu untuk perkara lain yang lebih penting. Syukurlah sehingga ke hari ini, walaupun saya gunakan duit gaji saya untuk membeli keperluan kucing, sentiasa ada rezeki untuk saya. Saya percaya kalau niat di hati ikhlas, Tuhan akan permudahkan. Hidup lebih mudah, hati pun lebih lapang.

Saya pernah membaca kajian yang dibuat atas orang yang ada pet dengan yang tiada. Di sini saya rujuk pet sebagai semua haiwan, tak terhad pada kucing saja. Kajian menunjukkan mempunyai pet memanjangkan lebih hayat mereka dari yang tiada pet. Selain itu, kebarangkalian untuk mereka yang ada pet sembuh dari penyakit yang mereka alami adalah lebih tinggi.

Ada lagi satu kajian dibuat atas mereka yang mula membela pet pada usia muda. Hasilnya menunjukkan mereka ni mempunyai daya tahan alahan yang lebih tinggi. Saya rasa perkara ni memang benar untuk saya sebab saya bela kucing seawal usia 4-5 tahun dan saya tak mempunyai sebarang alahan pada bulu kucing atau pun habuk berbanding ahli keluarga saya yang tak bela kucing dari usia muda. Mengikut kajian ni, sebab badan dah terbiasa dengan bulu pet ni, sebab tu ia cenderung membina daya tahan yang lebih tinggi.
Lagi satu kelebihan bila kanak-kanak membela pet secara konsisten dari usia muda, ia membuatkan mereka rasa lebih bertanggungjawab dan berperi kemanusiaan. Yalah, bila ada pet, kenalah pastikan ia diberi makan, dibersihkan najisnya dan dimandikan, serta dirawat jika sakit. Selain tu, fikiran pun jadi lebih matang sebab bila ada pet ni dah tentu ada masalah yang timbul dan kenalah berfikir panjang bila buat keputusan.

Apapun, ini hanyalah pendapat saya berdasarkan pengalaman yang saya dah lalui. Banyak pengetahuan juga yang saya dah dapat dengan membela kucing. Pendek kata, mempunyai pet walaupun ada masa sukar adalah berbaloi dengan terapi minda yang diberikannya.

Kenapa kucing?

Saya ada membela haiwan lain selain kucing seperti arnab, ikan dan anjing. Saya bela arnab sebab ia comel macam kucing jugak. Ia tak bising bila nak mengawan macam kucing tapi lecehnya suka mengunyah segala macam benda. Jadi kena hati-hati bila dilepaskan ke seluruh rumah. Kena pastikan bebas dari barang berasaskan getah ataupun apa juga yang boleh digunakan untuk ia mengasah gigi.

Ikan pulak seronok tengok ia berenang dalam akuarium. Tapi yang lecehnya nak kena cuci filternya dan akuarium. Lepas tu kena ganti air pulak. Mula-mula tukar tu oklah jernih lagi. Lepas beberapa hari jadi kelabu. Kadang-kadang sampai dah tak nampak ikannya lagi. Atas sebab ni, saya rasa kucing lagi best.

Pasal anjing ni, sekarang dah tak ada lagi. Dulu, dekat rumah ada orang Indonesia kerja lading sawit bela anjing. Tapi bila dia dah tak boleh nak renew visa dia sebab tak lulus medical check, dia dihantar balik. Jadi tinggallah anjingnya. Anjing tu pulak beranak. Saya sangat kesiankan anjing tu dan anak-anaknya tak ada sesiapa bagi makan. Jadi, saya bagi makan nasi pada anjing tu. Sebab bimbang keluarga saya marahkan saya sebab bagi makan, saya kata nak bagi bahagian makanan saya pada anjing tu. Saya sanggup berkongsi makanan daripada menyesal kalau anjing tu mati. Ibu anjing tu beransur baik bila dapat makan. Saya faham orang tak sukakan anjing tu sebab memang mula-mula saya jaga ia tak cantik. Berkurap, macam-macam lagilah. Tapi lepas dapat makan yang konsisten, anjing tu mula jadi sihat dan bulunya pun cantik. Jadi semua orang mula suka. Anak-anak anjing tu pulak sebab berebut menyusu dengan ibunya, cedera dan dihinggap lalat. Bila lalat dah hinggap, ada pulak telurnya dan menetas jadi ulat. Mula-mula saya tak tahu nak buat macam mana sebab tak ada pengalaman. Walau pun macam tu, saya selamatkan juga dan bubuh ubat luka (iodin). Lama-lama ulat tu hilang dan luka tu pun sembuh. Seperti yang saya cerita dalam entri sebelum ni, nak bawak ke klinik adalah satu perkara mustahil. Jadi, syukurlah diorang sembuh sendiri atas izin Tuhan. Yang lecehnya, anjing ni tak boleh nak sentuh sesuka hati macam kucing. Terpaksa lah bersarung tangan kalau nak rawat. Macam kucing, anjing pun manja, suka menjilat. Ni pun satu hal lagi kenalah elak. Kalau tak, habis kena samak. Bila saya masuk hostel semula, ayah saya bagi anjing-anjing tu pada orang lain – tempat yang berbeza.


Jadi, tinggallah kucing. Saya rasa kucing ni haiwan paling mudah disayangi dan dibela. Sebabnya, ia manja dan pembersih. Secara naturalnya, ia pandai membuang najis di dalam bekas khas yang disediakan. Saya juga minat personalitinya yang suka buat hal sendiri, nak tidur ke, main ke, makan ke, suka hati bila-bila yang ia nak. Kadang-kadang rasa lucu sangat tengok telatahnya, memang terhibur rasa hati. Buat seketika rasa hilang semua problem. Inilah antara sebab kenapa saya pilih kucing sebagai binatang peliharaan.